MEH | VISI & MISI MAJLIS EKONOMI HALAL - MEH



Visi Majlis Ekonomi Halal

Terbahagi kepada 3 dimensi : AMALAN – ILMU – IMAN


AMALAN

  • Majlis Ekonomi Halal beriktikad membawa Malaysia berhijrah dari amalan ekonomi yang bergejala gelap dan haram kepada ekonomi yang terang dan halal.
  • Amalan gelap dan haram adalah kanser yang merosakkan akidah sekaligus meracuni kesejahteraan bangsa dan Negara.
  • Demi menyelamat umat Islam dan Negara, maka pilihan yang tuntas ialah kembali kepada amalan ekonomi halal seperti mana yang termaktub dalam Al Quran. Modus operandinya bermula dengan menyuntik semangat juang ke arah kesedaran halal – dari ummah untuk ummah kerana Allah.

ILMU

  • Majlis Ekonomi Islam komited menampilkan “Rezkinomik” sebagai wajah untuk Sistem Ekonomi Islam.
  • Rezkinomik bakal menjadi terminologi universal untuk sistem ekonomi Islam (seperti mana kapitalisme kepada sistem ekonomi barat). Rezkinomik juga akan menampilkan konsep-model paradigma pembangunan yang Islamik.
  • Hakikatnya sistem ekonomi kapitalisme telah gagal menangani kemiskinan, ketidakadilan sosial malah menjadi instrumen penindasan.
  • Rezkinomik adalah reset ke arah eko-sistem ekonomi yang adil yang diredhai Allah - sekaligus solusi kepada lingkaran ganas kemiskinan di seluruh dunia .
  • Seruan Rezkinomik akan bermukadimah di Majlis Ekonomi Halal yang bakal memusatkan pemikir-pemikir Islam sekaligus bakal diperakui secara konvensyen, seminar, bengkel dan forum oleh seluruh dunia Islam. Inshaa Allah.

IMAN

  • Majlis Ekonomi Halal terpanggil menyediakan wadah & landasan ke arah kebangkitan Islam dalam cabaran perjuangan di akhir zaman - seperti mana yang dijanjikan kelangsungannya oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
  • Majlis Ekonomi Halal akan menjadi kampung bermukimnya para ilmuan, strategis & aktivis makrifatullah. Mereka akan menjadi benteng dalam mendepani ancaman dajalisasi.

Misi Majlis Ekonomi Halal

  1. Advokasi ke arah Dasar Halal Negara, sebagai wadah menjadikan halal sebagai teras dasar pentadbiran dan pembangunan ekonomi negara sekaligus memenuhi tuntutan Agama dan Perlembagaan Negara;
  2. Majlis Ekonomi Halal beriktikad berjuang ke arah menjamin rantaian bekalan makanan halal & toyyiban untuk keperluan pasaran ummah. [Ensuring the Supply Chain of Halal & Toyyiban Food for the Ummah market needs]
  3. Majlis Ekonomi Halal bersumpah menjadikan halal sebagai hak eksklusif kluster ekonomi umat Islam [Halal Muslim Blue Ocean Strategy]
  4. Majlis Ekonomi Halal akan melancarkan revolusi ke arah kartel-kartel haram yang menajiskan keimanan umat Islam dengan menyodok bekalan ayam dan daging haram ke dalam perut umat Islam. Zaman di mana umat Islam disajikan dengan “daging babi” berlogo halal bakal menemukan barzakhnya.
  5. Majlis Ekonomi Halal akan memerangi amalan rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, salah pentadbiran, pembaziran serta segala amalan songsang dalam semua lapisan pentadbiran. Amalan haram ini perlu ditangani kerana ia mengancam survival Melayu dan kesucian Agama Islam,

Disediakan oleh
Dr Helmi Ibrahim, Setiausaha Agung, MEH

#MajlisEkonomiHalal
#Rezkinomik
#MEH

Post a Comment

0 Comments